KOTA BHARU: Seorang remaja maut manakala motosikal yang ditungganginya terbakar selepas dipercayai bertembung sebuah kereta di atas Jambatan Sultan Yahya Petra di sini pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • Kebakaran melibatkan sebuah motosikal yang dipercayai berpunca daripada kemalangan dengan kereta Perodua Viva di Jambatan Sultan Yahya Petra pada Jumaat malam.
  • Seorang remaja berusia 18 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, dan motosikal yang ditungganginya terbakar.
  • Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.14 malam dan menghantar 18 anggota untuk memadam kebakaran.


Dalam kejadian jam 11.10 malam itu mangsa berusia 18 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Azmi Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.14 malam.

"Setiba di lokasi kejadian, kami mendapati kebakaran telah berlaku melibatkan sebuah motosikal yang dipercayai berpunca daripada kemalangan jalan raya dengan kereta jenis Perodua Viva.

"Mangsa yang menunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, seramai 18 anggota termasuk pegawai ke lokasi untuk kerja-kerja memadam kebakaran. -Sinar Harian