ALOR SETAR: Polis menahan seorang suspek lelaki bagi menyelesaikan kes dipercayai melarikan seorang lelaki secara salah di hadapan Hotel Dikly, Shahab Perdana, di sini pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan polis awal pagi Isnin selepas bapa mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu.

"Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menahan seorang suspek berusia 43 tahun pada awal pagi Isnin dan masih mengesan individu lain yang terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini tular video berdurasi 41 saat itu yang menunjukkan beberapa individu dipercayai tiga lelaki dan seorang wanita menolak mangsa ke dalam Perodua Viva di lokasi kejadian.

Tambah Ahmad Shukri, polis bagaimanapun masih mengesan beberapa suspek yang terlibat dalam insiden terbabit bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 362 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini kita masih menyiasat motif sebenar kejadian berlaku dan polis sedang cuba menghubungi mangsa dalam waktu terdekat ini," katanya.