JOHOR BAHRU: Seorang lagi suspek yang ditahan berhubung kes penculikan kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di pusat beli-belah Eco Galleria di Iskandar Puteri pada Sabtu, direman tujuh hari.


Ringkasan AI
  • Seorang lagi suspek lelaki berusia 31 tahun ditahan berhubung kes penculikan kanak-kanak perempuan di Eco Galleria, Iskandar Puteri, dan direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
  • Sebelum ini, empat suspek lain terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 55 tahun juga telah direman selama empat hari, dengan kesemua mereka ditahan di sekitar kawasan Gelang Patah, Iskandar Puteri.
  • Kanak-kanak perempuan yang diculik, Albertine Leo Jia Hui, 6 tahun, ditemui selamat bersama suspek kelima di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor, selepas dilaporkan hilang oleh bapanya pada malam Sabtu ketika festival Bon Odori Johor diadakan di pusat beli-belah tersebut.


Perintah reman terhadap suspek lelaki yang berusia 31 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini bermula Selasa hingga Isnin ini.

Perintah tahanan reman terhadap suspek kelima kes itu dikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar selepas membenarkan permohonan dibuat pihak polis.

Tempoh reman berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Terdahulu suspek berkenaan yang memakai baju T festival Bon Odori Johor tiba di pekarangan mahkamah pada jam 3 petang.

Pada sebelah pagi, empat suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 55 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dan mendapat perintah reman empat hari.

Pada Isnin, tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita ditahan pada jam 1.30 tengah hari di sekitar kawasan Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Susulan itu, seorang lagi wanita ditahan pada tengah jam 12.15 tengah malam Selasa sebelum suspek kelima berkenaan ditahan jam 4.45 pagi Selasa di Batang Kali, Selangor.

Suspek kelima itu ditahan bersama-sama kanak-kanak perempuan berkenaan di sebuah hotel murah dalam keadaan selamat.

Sebelum itu, Albertine Leo Jia Hui, 6, yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam di lokasi kejadian terbabit.

Sejak Jumaat hingga Ahad, pusat beli-belah itu mengadakan festival Bon Odori Johor yang menyaksikan kawasan berkenaan sesak dengan kehadiran pengunjung.

Kehilangan kanak-kanak tersebut tular dalam media sosial sehingga pelbagai spekulasi dan khabar angin tersebar termasuk ada pihak melihatnya bersama-sama seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini untuk masuk Singapura. - Sinar Harian