Majistret Siti Zubaidah Mahat memerintahkan Alyaa Zahwa Salim dan Putri Nurul Suhaila Abdullah masing-masing berumur 18 tahun, Muhammad Asran Ghazalie, 23, serta Muhammad Adha Abdullah, 20, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara bersama-sama telah menculik kanak-kanak itu daripada penjaga yang sah di Bandar Bukit Tinggi, di sini pada 3 petang, 8 Okt lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh telah membawa mangsa menaiki kereta yang disewa ke sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur.
Mangsa kemudian ditinggalkan di kediaman itu sebelum dihantar pulang menggunakan perkhidmatan e-hailing pada 12 Okt lepas, selepas empat hari dilarikan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhamad Saifullah Muhamad Azmi yang mewakili kesemua tertuduh dalam mitigasinya memaklumkan tiga daripada tertuduh merupakan pesalah muda dan memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk mengenakan bon berkelakuan baik bagi kesalahan itu.
Beliau berkata kesemua tertuduh turut memohon maaf dan telah insaf serta tahu ia merupakan kesalahan yang serius.
"Punca sebenar bermula daripada insiden perselisihan faham antara seorang daripada tertuduh dan abang mangsa. Niat mereka untuk berjumpa dengan abang mangsa sebelum bertindak melarikan kanak-kanak itu," katanya.
"Mereka belum cukup matang untuk berfikir secara rasional terhadap perbuatan dilakukan. Mohon hukuman penjara singkat dari tarikh ditangkap memandangkan umur kesemua tertuduh masih muda," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nuruljannah Aimi bagaimanapun membantah permohonan bon itu memandangkan kes berkenaan mendapat perhatian umum dan tular.
"Jenayah culik adalah jenayah berat dan mangsa berusia 12 tahun. Tindakan melarikan mangsa selama empat hari telah mengakibatkan kecederaan kepada mangsa berdasarkan laporan perubatan.
"Harap mempertimbangkan juga perasaan ibu bapa mangsa selepas anaknya hilang empat hari. Perasaan tidak tenteram itu perlu dipertimbangkan. Ketidakmatangan tidak boleh dijadikan alasan bagi mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun," katanya.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya berjaya menahan empat lelaki dan dua wanita di sekitar Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran yang disyaki terlibat dalam culik seorang kanak-kanak perempuan, selain merampas kereta digunakan suspek.
-- BERNAMA