LIMA, PERU: Pendemokrasian pendidikan merupakan strategi dan kunci utama untuk menghadapi cabaran yang dibawa oleh kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, adalah penting untuk memastikan semua lapisan masyarakat mempunyai akses kepada pendidikan dan latihan, terutamanya dalam bidang digital dan AI, agar negara dapat bersedia menghadapi sebarang cabaran yang bakal wujud disebabkan perubahan arus teknologi.

Beliau berkata, cabaran yang dihadapi akibat revolusi teknologi ini tidak jauh berbeza daripada yang dialami semasa Revolusi Perindustrian.

"Semasa Revolusi Perindustrian, terdapat gangguan besar, tetapi manusia telah menggunakan kebijaksanaan dalam kepakaran dan inovasi untuk mencipta pekerjaan baru," katanya sambil menegaskan bahawa dengan pendekatan yang tepat, gangguan AI boleh diatasi,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam sesi forum bertajuk ‘Peluang dan Cabaran dalam Revolusi AI’ pada Sidang Kemuncak CEO APEC, di sini, pada Khamis.

Dalam konteks Malaysia, Anwar menekankan usaha kerajaan untuk memfokuskan pendidikan digital sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasakan rakyat.

Beliau mengaitkan usaha ini dengan usaha pembasmian buta huruf suatu ketika dahulu, dengan memperkenalkan kemahiran asas membaca dan menulis kepada seluruh masyarakat.

Sehubungan itu, tegas beliau, kemahiran literasi digital dan penguasaan AI adalah setara pentingnya.

"Kita telah cuba di beberapa daerah, di mana pelajar yang lemah dalam matematik dan sains berjaya menguasai pengkodan. Ini menunjukkan bahawa walaupun tanpa pendidikan formal, kebijaksanaan manusia boleh mendorong kejayaan," tambahnya.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pendidikan digital, tanpa mengira latar belakang.

Sehubungan itu, beliau menyeru akses pendidikan AI diperluaskan dari sekolah-sekolah dan universiti hingga ke kawasan luar bandar, termasuk masyarakat miskin di bandar.

Dalam masa sama, Anwar otpimis dengan dasar awam yang menumpukan kepada pendemokrasian pendidikan AI, Malaysia mampu mengatasi cabaran gangguan teknologi masa depan.

"Jika kita berjaya mendemokrasikan akses kepada pendidikan AI, Insya-Allah, kita akan dapat menyelesaikan cabaran yang kita hadapi," kata Perdana Menteri.

Justeru, beliau melihat pendidikan yang inklusif akan memastikan negara bukan sahaja bersedia menghadapi perubahan teknologi, tetapi juga memperkasakan rakyat untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh kemajuan AI dan teknologi digital.

Turut sama dalam sesi forum yang dikemudi oleh Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Kanada, Jan De Silva ialah Naib Presiden Korporat Data & AI Microsoft, Zia Mansoor; Ketua Pegawai Eksekutif Vobile, Yangbin Wang dan Ketua Global, Hal Ehwal Kerajaan dan Polisi Awam Google, Karan Bhatia.