BALIK PULAU: Seorang jurutera didenda RM6,000 di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini kerana memiliki video pornografi kanak-kanak serta video lucah di dalam komputer.

Majistret Chia Huey Ting menjatuhkan hukuman itu terhadap Koay Lian San, 45, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimpan bahan lucah berkenaan, pada Isnin lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, jurutera itu didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak dan dia didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa memiliki video lucah dalam komputer di kediamannya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Sungai Ara, Bayan Lepas jam 9.20 malam pada 23 Disember lalu.

Semasa prosiding ,Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal serta berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh dalam mitigasi rayuan memohon lelaki itu dikenakan denda minimum atas alasan pendapatan bulanan sebagai jurutera berjumlah RM4,500 selain perlu menyara isteri, dua anak serta ibunya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan jika gagal bayar dipenjara empat bulan manakala denda RM2,000 bagi pertuduhan kedua, serta penjara dua bulan jika gagal bayar.

Media sebelum ini melaporkan polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melakukan tangkapan ke atas individu yang disyaki memiliki dan mengedar Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM).

'Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC' yang diketuai Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-Kanak Bukit Aman (D11) itu membabitkan siri serbuan secara terselaras di enam negeri, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak.