APAD dalam kenyataan hari ini juga memaklumkan pihaknya telah melaksanakan pemantauan rapi pada musim perayaan ini bagi memastikan pengendali-pengendali bas mematuhi jadual tambang yang telah ditetapkan.
Justeru, agensi itu mengingatkan pengendali bas supaya mematuhi jadual tambang sedia ada bagi mengelakkan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen pengendali.
Sementara itu, APAD memaklumkan pihaknya turut menerima maklum balas mengenai pengguna yang tanpa sengaja membeli tiket eksekutif yang lebih mahal akibat kekurangan maklumat jelas semasa pembelian.
"APAD telah mengeluarkan arahan supaya pusat penjualan tiket berpusat termasuk dalam talian dan luar talian memaparkan secara jelas sama ada tiket yang dijual adalah ekonomi atau eksekutif agar pengguna boleh memilih perkhidmatan yang setimpal dengan harga tiket yang hendak dibayar," menurut kenyataan itu.
Selain itu, agensi berkenaan memaklumkan bahawa pihaknya akan menyemak dasar dan peraturan sedia ada termasuk cadangan pengenalan tambang siling bagi perkhidmatan eksekutif memandangkan semakan terakhir kadar tambang dibuat pada 2013.
Menurut kenyataan itu, sebarang pindaan dasar dan peraturan akan mengambil masa kerana melibatkan aspek perundangan.
Sejak 9 September 2013, tambang siling bas ekonomi dikawal pada kadar RM0.093 setiap kilometer dengan had tambahan 10 peratus pada musim perayaan, manakala perkhidmatan bas eksekutif tidak mempunyai tambang siling.
-- BERNAMA
