Pengarahnya Mohd Pisar Aziz berkata langkah bagi mengekalkan kesiapsiagaan pasukan di semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini.
"Langkah ini penting untuk memastikan penugasan berjalan lancar, termasuk menggerakkan anggota bagi melaksanakan operasi menyelamat sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
"JBPM Melaka juga sentiasa bersedia menghadapi pelbagai situasi kecemasan, bukan sahaja melibatkan kebakaran, tetapi juga insiden seperti kemalangan, banjir dan kejadian lemas," katanya kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan JBPM Melaka di BBP Jasin Bestari, malam tadi.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Mohd Pisar berkata JBPM Melaka juga memastikan semua kelengkapan logistik berada dalam keadaan baik dan boleh digerakkan pada bila-bila masa jika diperlukan.
"Namun, kami berharap musim perayaan Aidilfitri kali ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini, lebih-lebih lagi memandangkan tempoh cuti agak panjang," katanya.
Sementara itu, sempena Program Ihya Ramadan, JBPM Melaka turut menyerahkan sumbangan Bakul Ramadan kepada 40 penerima yang terdiri daripada keluarga asnaf dan anak yatim di Parlimen Jasin.
Menurut beliau, peruntukan sumbangan itu disalurkan oleh beberapa pihak melalui Tabung Khairat Bomba Melaka untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
-- BERNAMA
