Ketiga-tiga suspek membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.
Mustafa Kasim, 29, yang bekerja sebagai pembantu restoran berdepan tiga pertuduhan, dua daripadanya membabitkan kesalahan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki menggunakan aplikasi WhatsApp pada 1 petang, 5 Dis 2022 di Kota Damansara, Petaling, Selangor.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 11 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun.
Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 12 Akta yang sama atas kesalahan berkomunikasi secara seksual terhadap kanak-kanak yang sama dengan meminta kanak-kanak itu menghantar gambar lucah pada tarikh, masa dan tempat yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa di bawah Seksyen 10 akta sama kerana memiliki video pornografi kanak-kanak dan kesalahan itu dilakukan di Pangsapuri Tania Jalan Merbah, Kota Damansara, Petaling, Selangor pada 12.30 tengah hari, 20 Dis 2022.
Dia boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Hakim Kunasundary menetapkan jaminan RM12,000 untuk semua pertuduhan. Mustafa tidak membayar jaminan dan dihantar ke Penjara Sungai Buloh.
Peguam tertuduh, Datuk Suraj Singh memohon jaminan dikurangkan atas alasan Mustafa masih dalam jaminan polis dan tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Norhana Sahat.
Dua lagi lelaki juga didakwa dengan kesalahan pornografi kanak-kanak dan kedua-duanya mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan masing-masing.
Pengurus syarikat, Tan Lye Synn, 41, didakwa memiliki pornografi kanak-kanak di Jalan 17/33, Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor pada 9 malam, 23 Disember lepas manakala Phoon Mun Tat, 39, didakwa melakukan kesalahan sama pada masa dan tarikh yang sama di Jalan PJU 10/18A, Sutera Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Mereka dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin setiap seorang. Kedua-dua membayar jaminan berkenaan.
Mahkamah menetapkan 13 Feb depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA