Ibrahim berkata langkah itu diambil selepas beliau meneliti beberapa perkara mengenai penyertaan Muhammad Jailani ke dalam Pas susulan pengumuman Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 16 Julai.
Beliau berkata pihaknya telah mengutus surat kepada Takiyuddin untuk mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu namun sehingga kini masih tidak menerima sebarang balasan.
"Pengakuan ADUN begitu samar yang mengatakan dirinya ahli Pas dan hanya ini bukti untuk saya (membuat keputusan)," katanya pada sidang DUN Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Ibrahim berkata dengan perkembangan terbaharu itu, jumlah ADUN yang menyokong kerajaan kini 25 manakala pembangkang tiga.
Muhammad Jailani yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Rembia semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021 dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 860 undi.
Pada Julai tahun lepas, UMNO menggantung keahlian Muhamad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.
-- BERNAMA