LONDON: Duta Palestin ke United Kingdom (UK) pada Khamis menuntut agar "kuasa penuh undang-undang" dikenakan sama rata terhadap "penjenayah perang Israel" selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengumumkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.

Menurut Agensi Anadolu (AA), Duta Husam Zomot menyambut baik waran tangkap ICC itu, menyifatkannya sebagai langkah ke arah pertanggungjawaban dan keadilan untuk Palestin.

"Biarlah kuasa penuh undang-undang dikenakan sama rata terhadap penjenayah perang Israel, bukan hanya untuk 412 hari yang lalu tetapi untuk 28,000 hari yang lalu," katanya di X, merujuk kepada Nakba ("Bencana") 1948, pembersihan etnik Palestin melalui pengusiran dan pemusnahan tanah, harta benda dan kepunyaan mereka.

Dalam langkah bersejarah, ICC pada Khamis mengumumkan waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan mereka di wilayah Palestin, termasuk Gaza.

Waran itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel ke atas Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, yang telah meragut nyawa kira-kira 44,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 103,000 yang lain.

-- BERNAMA