"Kanada telah meminta rundingan penyelesaian pertikaian dengan Amerika Syarikat berhubung pelaksanaan duti import ke atas produk keluli dan aluminium tertentu dari Kanada," menurut kenyataan WTO.
Kanada mendakwa langkah itu, yang menamatkan pengecualian Kanada daripada duti tambahan ke atas keluli dan aluminium tertentu serta meningkatkan kadar duti terhadap produk aluminium tertentu yang berkuat kuasa pada 12 Mac, bercanggah dengan kewajipan AS di bawah Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) 1994, menurut WTO.
Pada 10 Feb lalu, Trump mengumumkan pelaksanaan tarif ke atas import keluli dan aluminium secara global, langkah yang didakwa demi melindungi industri dan pengeluar domestik AS.
Rabu lalu, tarif 25 peratus yang dirancang Trump ke atas import keluli dan aluminium mula dikuat kuasa.
Sebelum ini, Kanada mengemukakan aduan lain kepada WTO pada 5 Mac sehari selepas tarif AS ke atas barangan Kanada dikuatkuasakan pada 4 Mac.
Selepas rundingan antara kedua-dua negara, Trump kemudiannya menangguhkan pelaksanaan tarif ke atas beberapa produk selama sebulan.
-- BERNAMA
