DI dalam dunia moden ini, politik adalah sebahagian dari kehidupan harian. Walaupun politik kelihatan seolah-olah diterajui oleh ahli-ahli politik, namun kesan dan hasil kegiatan politik akan memberi impak ke atas setiap manusia.

Kemuncak bagi kegiatan politik adalah kemenangan di dalam pilihan raya yang membawa kepada kuasa mentadbir negara. 

Kerajaan demokrasi yang dibentuk melalui pilihan raya, pada dasarnya, adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat bagi menjaga kepentingan rakyat. Ideologi politik menjadi tunggak pilihan rakyat.

Namun, di dalam dunia moden, masyarakat bukan hanya memilih berdasarkan semata-mata kepada kepercayaan politik tetapi aspek budaya, ekonomi, kesejateraan hidup, keselamatan, jaminan masa hadapan dan lain-lain aspek sosial menjadi sandaran di dalam pilihan raya.

Kesemua parti politik dan calon yang bertanding di dalam pilihan raya, berlumba untuk memenuhi kehendak pengundi.

Perlumbaan ini memerlukan dana dan sumber kewangan yang besar. Ceramah politik, bahan kempen, tenaga kerja semasa pilihan raya dan lain-lain.

Perbelanjaan politik sama ada secara terangan atau berselindung adalah sesuatu yang tidak dinafikan di dalam perjalanan politik terutama di dalam pilihan raya.

Undang-undang pilihan raya di Malaysia menetapkan bahawa seseorang calon dan ejen di dalam pilihan raya bagi kerusi Parlimen hanya boleh berbelanja tidak lebih dari RM200,000 manakala bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, belanja kempen tidak melebihi RM100,000.

Jumlah ini mungkin kelihatan besar, tetapi hakikatnya, perbelanjaan sebenar mungkin berlipat ganda berbanding had yang ditetapkan.

Kawalan ini hanya diletakkan di atas calon dan ejen, manakala perbelanjaan yang dibuat oleh parti-parti politik dan penyokong-penyokong tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang.   

Telah menjadi amalan masyarakat di Malaysia, seolah-olah pilihan raya merupakan satu pesta, di mana ahli-ahli politik berbelanja bagi meraih undi.

Undang-undang sedia ada berkaitan perbelanjaan politik adalah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. 

Walau bagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang berkaitan perbelanjaan pilihan raya seolah-olah tidak kelihatan di negara.

Lebih mengecewakan, apabila badan utama di dalam pengurusan pilihan raya iaitu Suruhanraya Pilihan Raya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memastikan perbelanjaan kempen pilihan raya dapat dikawal di suatu tahap yang sihat.

Apabila kempen pilihan raya memerlukan perbelanjaan yang besar, timbul tanda tanya ‘dari manakah datangnya sumber kewangan tersebut?’

Ahli-ahli politik sering menungkapkan bahawa sumbangan daripada penyokong dan sumbangan peribadi adalah punca utama bagi pembiayaan politik.

Di sesetengah negara demokrasi barat, sumbangan politik dianggap sebagai kebebasan menyuarakan pendapat dan bagi menunjukkan sokongan kepada parti politik yang bertanding.

Apa yang menarik di negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, jumlah derma politik dihadkan dan setiap jumlah sumbangan perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa oleh pemberi dan penerima sumbangan yang berkaitan.

Pelaporan ini menjadikan sumbangan dana politik lebih berbuka dan boleh mengelak daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Ketiadaan undang-undang spesifik berkaitan pembiayaan politik dan dana pilihan raya boleh menyebabkan politik menjadi pentas bagi menjana rasuah dan pengubahan wang haram.

Amat memalukan apabila ahli-ahli politik ternama dikaitkan dengan rampasan wang tunai dan kekayaan yang tidak diketahui puncanya sebagai sebahagian daripada pembiayaan politik.

Lebih parah apabila wang yang dirampas dikatakan daripada sumber dari luar negara sebagaimana yang dikatakan di dalam kes 1MDB.

Pelbagai laporan dari beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan Jawatankuasa Khas Parlimen Bagi Penambahbaikan Pilihan Raya 2012, Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik 2016 dan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihanraya 2020 menegaskan perlu diwujudkan undang-undang khas bagi mentadbir urus isu-isu berkaitan dana dan pembiayaan politik.

Pemimpin dan ahli politik harus menjadi teladan kepada masyarakat dan membawa Malaysia ke arah negara yang bebas dari rasuah. 


* Amerul Muner Mohammad ialah Pengarah Projek di Pusat Kajian MADANI.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.