Perkembangan yang berlaku di seluruh dunia ada kaitan dengan impak dan kesan kepemimpinan kepada masyarakat awam.
Tindakan dan keputusan seorang pemimpin boleh membahagiakan atau mengecewakan kumpulan yang dipimpin.
Kita percaya kepemimpinan perlu dijana sejak awal lagi. Dalam konteks kepemimpinan mahasiswa di universiti, bakat dan potensi mereka sentiasa dipupuk dan diserlahkan.
Ia memerlukan suatu perancangan terancang atau proses ‘nurture’ dan bukan ‘nature’ yang bersifat semula jadi.
Kepemimpinan dalam kalangan mahasiswa memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat, bangsa dan negara.
Mahasiswa adalah generasi peneraju yang bakal membawa impak besar dalam mentadbir dan mengurus keperluan kehidupan di masa akan datang.
Oleh itu, penting bagi kepimpinan mahasiswa untuk mencabar potensi sebenar mereka agar dapat memberi sumbangan yang bermakna dan mampu berdaya intelek seiring dengan arus perubahan dan perkembangan teknologi dunia.
Keperluan berfikir aras tinggi dan menguasai teknologi perlu diberi penekanan diselari dengan pembentukan otak dan watak seperti yang digagaskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Pemimpin pelajar perlu sahut agenda pemerkasaan mahasiswa
Mahasiswa perlu ampuh dalam mendepani cabaran masa kini yang semakin mencabar dengan perlu meningkatkan kemahiran insaniah, berkeyakinan dan membentuk jaringan profesional dengan pelbagai pihak.
Tuntasnya golongan mahasiswa perlu mempersiapkan diri mereka dalam memastikan agenda pemerkasaan mahasiswa dapat dijayakan dengan sebaiknya.
Keterbukaan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah suatu iltizam politik yang tinggi bagi mencapai matlamat pendidikan yang berhasrat menghasilkan graduan yang holistik dan seimbang selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Pada masa sama, kesanggupan Zambry dalam beberapa aktiviti bersemuka dengan mahasiswa seperti program In Person With Doc Zam (IPWDZ) dan penganjuran Festival Idea Putrajaya misalnya, adalah usaha murni Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasakan kemahiran kepemimpinan mahasiswa berasaskan idea dalam aspek keusahawanan, pembangunan diri dan kerjaya, kesedaran terhadap isu global, kemanusiaan dan meningkatkan keyakinan diri mahasiswa.
Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (UMT) sentiasa bingkas mendukung hasrat KPT melalui program-program pembangunan dan pemerkasaan mahasiswa seiring dengan semangat pindaan AUKU.
Berpandukan pendekatan autonomi terpimpin, kepemimpinan mahasiswa di universiti sentiasa dibantu dengan gabungan idealisme dan kematangan.
Mengembangkan kepemimpinan mahasiswa
Sementelah itu, salah satu cara terbaik untuk mengasah kemahiran kepimpinan dalam kalangan mahasiswa adalah melalui penglibatan aktif dalam aktiviti-aktiviti kampus, membina hubungan baik dengan rakan pelajar dan mengembangkan kemahiran kepimpinan di universiti.
Ini termasuklah kesediaan menyertai organisasi Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan-persatuan pelajar, mengambil bahagian dalam projek kesukarelawanan, serta mengendalikan program-program keusahawanan atau kebajikan.
Secara tidak langsung, menerusi ikhtiar ini, mahasiswa dapat menggelora bakat dan memperluaskan pengalaman mereka, mengasah kemahiran interpersonal serta memperkukuhkan kemahiran kepimpinan mereka.
Pendedahan ini secara naratif boleh memberi pengalaman terhadap liku-liku, penat lelah dan pahit jerih kehidupan di kampus untuk berdepan dengan keadaan sebenar di luar sana suatu hari nanti.
Kepemimpinan mahasiswa juga perlu melampaui sempadan universiti dan mengerakkan jaringan kerjasama dengan komunti, kemasyarakatan atau pertubuhan bukan kerajaan dalam memperjuangkan isu-isu penting dalam masyarakat umpamanya konflik geopolitik, perubahan iklim dan penindasan entik.
Ini membolehkan mahasiswa mengaplikasikan kemahiran kepimpinan mereka dalam konteks yang lebih luas, serta membuktikan bahawa mereka merupakan agen perubahan yang berpotensi untuk menyumbang kepada kemajuan sosial dan pembangunan negara.
Mahasiswa juga perlu mengambil inisiatif dan langkah proaktif untuk terus mengasah potensi diri mereka sendiri.
Ini termasuklah mencari peluang untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka melalui pembelajaran formal dan tidak formal.
Dengan mengambil langkah ini, mahasiswa dapat memperkukuhkan asas kepimpinan mereka dan mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran-cabaran yang kompleks dalam dunia profesional.
Natijahnya, kepemimpinan mahasiswa bukan sahaja memerlukan lebih daripada sekadar mengetuai organisasi pelajar atau mengendalikan program-program aktiviti, namun perlu didedahkan dengan aspek dan prospek yang memberi kesan melalui usaha pemerkasaan dan pembangunan mahasiswa dalam melahirkan kemenjadian modal insan yang berdaya saing dan holistik.
Ia juga melibatkan usaha untuk mengenal pasti dan memperkasakan potensi sebenar mahasiswa untuk menjadi pemimpin yang berintelektual dan bertanggungjawab dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat dan negara.
Dengan mencabar potensi sebenar ini, mahasiswa dapat memainkan peranan yang lebih jitu dan efektif dalam membentuk masa depan yang lebih cerah untuk semua pihak.
Secara tuntasnya, kepemimpinan mahasiswa wajar diangkat sebagai aktor strategik penting dalam memberi idea, berkongsi pandangan.
Ini akan meletakkan mahasiswa menjadi individu lebih kreatif dan kental berhadapan dengan cabaran dunia yang sebenar.
Lebih-lebih lagi sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia mulai tahun hadapan, mahasiswa perlu mengambil bahagian secara pro aktif dalam mengemukakan idea-idea baharu dan segar ke arah kesejahteraan komuniti serantau.
* Fadli Mamat ialah Pengarah Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa
HEP dan Alumni, Universiti Malaysia Terengganu.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.