SEBAGAI sebuah negara demokrasi berparlimen, setiap rakyat Malaysia yang layak, diberi jaminan bahawa mereka akan didaftar sebagai pengundi apabila mencapai usia 18 tahun sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Syarat kelayakan pula adalah pengundi tersebut mempunyai mental kapasiti dan tidak menjalani hukuman penjara pada tarikh kelayakan.

Tujuan diadakan pilihan raya adalah bagi membolehkan rakyat memilih wakil mereka sama ada di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pemilihan ini penting kerana asas utama demokrasi adalah sebarang pembikinan undang-undang adalah untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Oleh itu, suara rakyat melalui wakil-wakil yang dipilih harus didengari dan dipertimbangkan.

Ahli-ahli Parlimen dan DUN dipilih bagi mewakili rakyat mengikut kawasan-kawasan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Penetapan kawasan pilihan raya adalah mengikut peruntukan Perkara 113 dan Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan.

Pengundi akan didaftarkan  secara automatik ke dalam daftar pemilih pilihan raya berdasarkan kepada alamat tempat tinggal yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara.

Baru-baru ini sebuah parti politik menyarankan agar penyokong-penyokong parti tersebut untuk memindahkan alamat mengundi mereka ke negeri Selangor sebagai satu strategi untuk memenangi negeri tersebut di dalam pilihan raya yang akan datang.

Ini bercanggah dengan prinsip asas pilihan raya iaitu “vote where you reside” (undi di mana anda menetap).

Pemindahan alamat pengundi semata-mata untuk tujuan pilihan raya merupakan satu bentuk manipulasi bagi kepentingan politik dan bukannya untuk kesejahteraan rakyat.

Di dalam sistem pilihan raya Malaysia, yang mana pembentukan kerajaan sama ada negeri atau Persekutuan bergantung sepenuhnya kepada jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti-parti politik, menyebabkan parti-parti politik akan menggunakan apa sahaja taktik untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan.

Wakil rakyat yang dipilih seharusnya memperjuangkan hak dan kepentingan penduduk setempat dan bukannya pengundi luar yang menggunakan alamat di kawasan tersebut yang hanya muncul bagi tujuan menyokong parti politik yang bertanding.

Kegiatan pengundi luar ini juga membawa kepada dakwaan ‘pengundi hantu’ yang sering timbul di dalam pilihan raya di negara ini.

Pengundi hantu adalah istilah yang digunakan terhadap pengundi-pengundi yang muncul di tempat-tempat  mengundi hanya pada hari mengundi.

Pelbagai tohmahan berkaitan pengundi hantu semasa pilihan raya, namun hampir keseluruhan dakwaan tidak dibuktikan secara nyata oleh pihak-pihak yang terbabit.

Agak mustahil bagi seseorang yang tidak berdaftar untuk menjadi pengundi di Malaysia, namun apabila terdapat pergerakan pengundi secara besar-besaran menjelang hari mengundi, dakwaan ini menjadi lebih ketara dan menjejaskan kredibiliti dan integriti pilihan raya itu sendiri.

Hasil pilihan raya yang diragui boleh menyebabkan ketidakstabilan kerajaan yang dibentuk. Kestabilan politik menjadi peneraju kepada kestabilan ekonomi dan seterusnya kemakmuran negara.

Proses pilihan raya haruslah bersih, telus, adil dan bebas bagi menjamin demokrasi yang sebenarnya.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihanraya (ERC) yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada 2018 telah membuat beberapa cadangan bagi mengatasi isu ‘pengundi hantu.’

Antara lain, menguatkuasakan undang-undang berkaitan penukaran alamat mengikut Perkara 15 Peraturan Pendaftaran Negara.

Suatu sistem audit terhadap alamat yang tercatat di dalam Daftar Pengundi SPR harus diwujudkan dan peruntukan undang-undang wajib dilaksanakan bagi memastikan tiada alamat palsu yang digunakan sebagai alamat pengundi.

ERC juga mencadangkan agar satu infrastruktur khusus dibina agar sistem alamat di Malaysia menjadi lebih teratur dan diguna pakai oleh kesemua badan-badan yang berkaitan terutama pihak berkuasa tempatan.

Kemudahan mengundi di dalam talian juga boleh dipertimbangkan oleh SPR bagi mengelak pergerakan pengundi secara besar-besaran dan bagi memudahkan pengundi-pengundi yang berada di luar kawasan.

Namun, keselamatan sistem siber ini amat penting bagi memastikan keutuhan dan initegriti pilihan raya dan kerajaan yang dibentuk.


* Amerul Muner Mohammad ialah Pengarah Projek di Pusat Kajian MADANI dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif ERC.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.