KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di beberapa negeri bertambah baik dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah, Johor dan Selangor mula berkurangan manakala di Pahang serta Melaka tidak berubah dan di Perak sedikit meningkat.

Di PERAK, Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan jumlah mangsa yang berlindung di 11 PPS meningkat kepada 1,286 orang pagi ini berbanding 1,191 orang malam tadi.

Menurut laman sesawang rasmi Public Info Banjir, paras air Sungai Bidor di Hilir Perak dan Sungai Rui di Hulu Perak melepasi tahap amaran manakala Sungai Kampar serta Sungai Perak di Perak Tengah pula melepasi tahap waspada.

Di KEDAH, jumlah mangsa yang ditempatkan di tujuh PPS menurun kepada 848 daripada 1,000 orang dari tiga daerah iaitu Pendang, Kota Setar dan Baling.

Laman sesawang rasmi Public Info Banjir memaklumkan paras air Sungai Anak Bukit di Kota Setar melepasi tahap bahaya.

Di PAHANG dan MELAKA pula, jumlah mangsa banjir dengan masing-masing di Temerloh kekal kepada 1,643 orang manakala mangsa banjir di Jasin yang berlindung di SK Seri Mendapat kekal 31 orang.

Di JOHOR, mangsa banjir di daerah Batu Pahat menurun sedikit kepada 15 berbanding 17 orang yang berlindung di PPS SK Seri Bunut sejak semalam.

Di SELANGOR, jumlah mangsa menurun kepada 32 daripada 66 orang dari daerah Hulu Selangor dan Hulu Langat yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Alah Batu dan SK Sungai Serai.

Pada masa sama, paras air Sungai Bernam di daerah Hulu Selangor ketika ini dilaporkan melepasi tahap bahaya sehubungan itu penduduk di kawasan sekitar dinasihat agar sentiasa berwaspada.

-- BERNAMA