Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan semua mangsa di daerah Marang telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing petang tadi memandangkan banjir telah surut.
Bagaimanapun di daerah Kemaman masih terdapat 29 mangsa daripada enam keluarga yang berlindung di sebuah PPS iaitu di Balai Raya Padang Kemunting.
Menurut JBPNT cuaca agak baik iaitu mendung tanpa hujan lebat hari ini menyebabkan air surut dan penduduk dapat pulang ke rumah masing-masing.
Sementara itu menurut laman web publicinfobanjir paras air sungai di dua lokasi iaitu di Sungai Nerus di Kampung Langkap (F1), Setiu dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu melepasi paras amaran.
Sementara di Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu, paras air sungai dilaporkan dalam keadaan waspada.
-- BERNAMA