Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA), Profesor Datuk Mohd Ekhwan Toriman berkata, pihaknya mengambil serius akan tindakan sebuah persatuan yang mendakwa satu daripada lima pelajar di sebuah UA pernah mengalami gangguan seksual.
Menurutnya, pihak yang melontarkan dakwaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap implikasi dan perkara yang didakwa.
“Kita juga menggesa semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengucar-ngacirkan keadaan.
“Sebaliknya semua pihak terlibat disarankan untuk menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa tanpa membuat spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, persatuan bekas pelajar di sebuah UA tempatan mendakwa setiap seorang penuntut daripada lima penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) itu pernah mengalami gangguan seksual.
Bagaimanapun, menurut kenyataan berkenaan, hanya 11.1 peratus daripada jumlah itu yang tampil membuat pendedahan untuk tindakan.
Mengulas lanjut, Mohd Ekhwan memberitahu bahawa sebagai wahana ilmu negara, UA perlu menjadi institusi paling selamat serta bebas gangguan seksual apabila diurus dengan adunan nilai keagamaan, adab serta kesarjanaan yang seimbang.
Jelas beliau, sebarang tindakan yang diambil oleh UA berkenaan dengan aduan gangguan seksual hendaklah dijalankan mengikut prosedur dan peraturan sedia ada selari Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].
“Unit Integriti di kesemua UA juga menjadi saluran utama dalam pelaporan kes-kes gangguan seksual supaya aduan yang diterima dapat disiasat tanpa sebarang intervensi sekali gus memberikan keadilan dan melindungi hak semua pihak.
“Justeru, seluruh warga UA Malaysia diingatkan agar tidak mengambil sebarang tindakan yang melanggar mana-mana kod amalan dan tatacara universiti serta undang-undang negara.
“Semua warga juga diingatkan agar menjalankan tanggungjawab dengan berhemah dan beretika,” ujarnya. -- Sinar Harian