Kesemua mangsa di Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing petang tadi memandangkan air telah surut.
Bernama
Wed Nov 20 2024
Dua PPS di daerah Dungun dan Setiu ditutup petang tadi selepas banjir yang melanda daerah tersebut sejak semalam kini kembali pulih. - Bernama
KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurangan kepada 2,581 orang setakat 8 malam ini berbanding 2,765 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan kesemua mangsa di tiga daerah iaitu Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing petang tadi memandangkan air telah surut.
Walau bagaimanapun, di daerah Kemaman yang terjejas paling teruk, sebanyak 2,568 mangsa daripada 641 keluarga masih ditempatkan di lima PPS iaitu balai raya Meraga Beris; Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik; Darul Iman Training Centre; balai raya Beris Nenas dan balai raya Padang Kemunting.
Di Marang pula, sebanyak 13 mangsa daripada empat keluarga masih berlindung di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai.
"Mangsa di tiga daerah telah dibenarkan pulang, tetapi PPS masih belum ditutup kerana hujan masih berterusan di beberapa tempat," kata JPBNT.
Sementara itu, https://publicinfobanjir.water.gov.my/ melaporkan paras air sungai di Kampung Felda Mengkawang, Hulu Terengganu dan Sungai Tumpat di Kampung Baru, Kemasik, Kemaman telah melepasi paras amaran.
Manakala tiga lagi lokasi iaitu Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu berada pada tahap waspada.