KUALA LUMPUR: Banjir di Pahang pulih sepenuhnya manakala di Johor jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) kekal 36 orang, setakat petang ini.

Di PAHANG, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Kol (PA) Che Adam A Rahman dalam kenyataan berkata PPS terakhir iaitu Balai Raya Kampung Baru Pertanian di daerah Maran ditutup 12.30 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya bersama agensi lain akan terus bersiap siaga berikutan cuaca yang tidak menentu sepanjang Monsun Timur Laut. 

"MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) telah menyatakan keberangkalian berlaku gelombang seterusnya banjir serta mengeluarkan amaran waspada di beberapa negeri termasuk Pahang yang melibatkan daerah Jerantut, Kuantan dan Pekan. 

"Jadi, kita harap masyarakat setempat cakna dengan perubahan cuaca serta aras air sungai dan laut," katanya. 

Sementara itu di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa banjir yang dipindahkan masih berlindung di sebuah PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat yang dibuka sejak 29 Nov lepas. 

"Mangsa yang terjejas dari Kampung Seberang Batu Badak ini belum dibenarkan pulang susulan penempatan mereka digenangi banjir termenung," katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata hanya satu sungai di daerah Segamat dilaporkan melepasi paras amaran iaitu stesen Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 8.62 meter (trend menurun). 

Azmi berkata keadaan cuaca di Johor Bahru, Muar, Pontian, Kluang dan Batu Pahat diramalkan mendung manakala Mersing, Segamat serta Kota Tinggi pula cerah, sementara Tangkak dan Kulai dijangka hujan petang ini. 

-- BERNAMA