IPOH: Situasi banjir di Perak menunjukkan trend penurunan sejak beberapa hari lalu sehingga malam tadi, dengan bilangan mangsa kini seramai 354 orang.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, kesemua mangsa banjir itu yang terdiri daripada 103 keluarga, masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya dalam satu kenyataan, tiga daerah yang masih terjejas adalah Kerian, Hilir Perak dan Perak Tengah.

Bilangan mangsa di Kerian ialah 36 orang daripada 11 keluarga, Hilir Perak pula 258 orang daripada 76 mangsa manakala Perak Tengah 60 orang daripada 15 keluarga.

Selain itu, terdapat 22 kawasan terjejas yang merangkumi tiga daerah tersebut.

PPS yang masih aktif ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu, Dewan Serbaguna Padang Tembak, Dewan MPTI Langkap, Dewan Serbaguna Chikus dan SK Dato' Sagor.