KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah menurun kepada 2,655 orang daripada 916 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 3,114 orang daripada 1,488 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir berkenaan menurun, kerana keadaan banjir di beberapa kawasan yang dilanda bencana itu sebelum ini semakin pulih dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Direkodkan di Beaufort masih 1,719 mangsa daripada 556 keluarga di tujuh PPS, Membakut (422 orang daripada 50 keluarga di lima PPS), dan Tenom (514 orang daripada 210 keluarga di sembilan PPS).

"Sebanyak 36 kampung masih terjejas akibat banjir iaitu 16 di Tenom, dan masing-masing 10 di Beaufort dan Membakut," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA