PARIT BUNTAR: Seorang pekerja kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Parit Buntar pada Rabu atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri, minggu lalu.


Ringkasan AI
  • Ng Ju Han mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri.
  • Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
  • Kes disebut semula pada 18 April depan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.


Tertuduh, Ng Ju Han, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.

Tertuduh yang memandu kereta jenis Honda City didakwa memandu di atas jalan raya di bawah pengaruh dadah hingga tidak berdaya mengawal kenderaannya lalu menyebabkan kematian terhadap Baharudin Ahmad, 59, dan Wan Saniah Wan Ismail, 66.

Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika dalam perjalanan dari arah Kuala Kurau menghala ke Tanjung Piandang, Kerian sekitar jam 7.50 pagi pada 5 Mac lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta denda maksimum RM100,000, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Ruhan 'Imran Abdul Halim bagaimanapun memohon jumlah jaminan minimum diberikan dengan alasan mempunyai pendapatan sekitar RM2,200 selain perlu menanggung ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin dalam kalangan ahli keluarga dan kes disebut semula pada 18 April depan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.

Media sebelum ini melaporkan suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan dekat Kuala Kurau pada Rabu minggu lalu.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Kelisa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit manakala seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang berada dalam kenderaan sama terselamat namun mengalami kecederaan.

Ketika operasi dijalankan oleh pasukan bomba, keadaan pemandu Honda City tidak dapat dipastikan kerana tiada di tempat kejadian. -Sinar Harian