Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata selain badan bukan kerajaan (NGO), beberapa syarikat swasta turut turun padang menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir di negeri itu.
"Terbaru, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM)jturut sama memberikan sumbangan bagi membantu mangsa banjir di negeri ini," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata sumbangan RM50,000 diserahkan oleh Presiden PKBM Datuk Dr Azman Yusoff kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Wisma Bapa, Kuching, Sarawak semalam.
"Terima kasih saya ucapkan kepada PKBM dan semoga bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang terkesan akibat banjir di Sarawak baru-baru ini," katanya.
Setakat malam tadi, jumlah mangsa banjir di Sarawak menurun kepada 604 orang berbanding 735 orang pada petang.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2023-11/71700131973_freesize.png)