Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Madeline Berma berkata, ia kini menjadi satu trend pengguna membeli barang bukan keperluan untuk menunjuk di media sosial sehingga berlaku pembaziran kewangan.
“Saya membesar dengan buku tiga lima, zaman dulu konsep berhutang boleh dikatakan satu aib, malu kalau kita berhutang tapi sekarang konsep itu tidak wujud lagi kerana yang penting kita ada sesuatu untuk menunjuk-nunjuk, menayangkan barang kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Madeline tidak pukul rata kerana menyedari konsep BNPL memberi ruang kepada pengguna untuk berbelanja, namun cara pelaksanaannya yang longgar ada kalanya memberikan lebih banyak kesan negatif.
Senada dengan Madeline, Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohd Yusrizal Yusof berkata, corak ekonomi seperti ini seharusnya dikawal oleh kerajaan kerana ia boleh merosakkan data kuasa pengguna yang sebenar.
“Jadi kita tengok barangan yang saban tahun naik harganya adalah barang yang mempunyai permintaan tinggi. Pelaksanaan BNPL atau bayaran secara ansuran ini ada kalanya pengguna sendiri tidak pun mampu beli.
“Maka akan berlaku permintaan tinggi dan berlakulah lonjakan harga. Jika ia dikawal kerajaan, maka ini dapat tunjukkan kuasa beli pengguna yang sebenar, harga barangan itu akan kembali stabil dan ia tidak akan naik mendadak,” ujarnya.
Yusrizal berharap Akta Kredit Pengguna (CCA) yang akan dibentangkan pada persidangan Parlimen kelak dapat menangani pertindihan tanggungjawab antara pihak berkuasa pengawalseliaan serta mengurangkan jurang dalam pengawasan penyedia kredit pengguna.
Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini memaklumkan, apabila CCA diluluskan, Suruhanjaya Kredit Pengguna akan ditubuh sebagai pihak berkuasa baharu yang mengawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit di Malaysia.