ANKARA: Liga bola sepak Sepanyol - La Liga EA SPORTS dan La Liga HYPERMOTION, akan bertafakur satu minit hujung minggu ini bagi memperingati mangsa yang terkorban akibat banjir di Valencia, lapor Agensi Anadolu yang memetik penganjur pada Rabu.

Dalam satu kenyataan, La Liga menyampaikan ucapan takziah dan solidariti kepada keluarga mangsa banjir dan individu yang masih hilang dalam bencana itu.

Banjir dahsyat di wilayah timur Valencia mengorbankan 63 nyawa, menurut data awal daripada Kementerian Dalam Negeri Sepanyol.

Jumlah korban terbaharu ini berlaku selepas kejadian banjir dahsyat dalam tempoh satu malam, yang disebabkan oleh ribut terburuk abad ini.

Ribut itu setanding dengan dua ribut lain pada 1980-an, menurut agensi meteorologi Sepanyol.

Sementara itu, kelab bola sepak Valencia, antara pasukan terkemuka dalam divisyen La Liga, menyatakan bahawa mereka telah menukar stadium tuan rumah, Mestalla, menjadi "pusat simpanan makanan dan keperluan asas" untuk membantu mereka yang terjejas akibat bencana itu.

Pada Sabtu, Valencia akan bermain perlawanan liga menentang juara bertahan Sepanyol, Real Madrid, di Mestalla. - BERNAMA