LARKIN: Barisan Nasional (BN) Johor beranggapan tiada sebarang masalah untuk menempatkan calon parti itu di salah satu kerusi ‘panas’ di Johor iaitu Pagoh yang kini disandang Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, parti itu masih mempunyai ramai calon yang sesuai untuk ditempakan di kawasan tersebut.

“UMNO tak pernah kurang pemimpin, jadi saya tak nampak ada sebarang masalah untuk letak calon (BN) di Pagoh dan calon untuk menang.

“Apa yang penting, tempat mana kita hantar calon itu, dia harus menang dan mempunyai potensi yang tinggi untuk menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perasmian pembukaan cawangan ke-10 Al Ikhlas Gajet di Larkin pada Sabtu.

Kerusi Parlimen Pagoh antara yang bakal mencuri tumpuan pengamal media menjelang PRU15 yang semestinya menantikan calon-calon yang bakal mempunyai misi untuk merampas kerusi milik Presiden Bersatu itu.

Muhyiddin setakat ini berjaya mempertahankan kerusi terbabit lebih daripada tiga penggal selain kemenangan beliau sebelum ini merupakan atas tiket BN.

Sebelum ini, Hasni turut memaklumkan UMNO bakal bertanding di 17 daripada 26 kerusi Parlimen di negeri itu termasuk di Simpang Renggam pada PRU15.

Selain itu, BN Johor akan turut menampilkan 60 peratus muka baharu termasuk 30 peratus daripada golongan wanita.