PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengendali skuad kebangsaan atas sebab-sebab peribadi yang enggan didedahkan.

Dalam sidang media khas di Wisma FAM pada Selasa, Kim berkata, beliau telah mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, sebelum kedua-dua mereka mencapai persetujuan berhubung keputusannya itu.



Katanya lagi, sepanjang dua tahun setengah tempoh beliau menerajui pasukan bola sepak negara, Malaysia telah berjaya memperbaiki kedudukan dalam FIFA, selain layak ke Piala Asia selepas kemarau 23 tahun.


Malah, skuad Harimau Malaya juga telah mencipta sejarah tersendiri dan mewujudkan memori manis buat peminat bola sepak tanah air apabila berjaya meraih keputusan seri 3-3 ke atas Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan E pada saingan Piala Asia 2023, awal tahun ini.

“Kami telah berjaya membina asas yang kukuh untuk skuad tanah air, dan berjaya menanam bibit-bibit harapan bahawa bola sepak tanah air mempunyai masa depan yang cukup cerah.

“Sokongan padu Ultras Malaya juga merupakan antara motivasi terbesar untuk saya, sokongan Datuk Hamidin juga antara kekuatan saya.

"Selain itu, saya juga bersyukur kepada kerajaan dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, serta kelab-kelab bola sepak yang terus membenarkan saya mencuba untuk memperbaiki kekuatan kami,” katanya lagi.



Sementara itu, Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihak pengurusan telah bersetuju agar tempat Kim dipangku sementara oleh Penolong Ketua Jurulatih, Pau Marti Vicente, dan tiada perubahan kepada barisan jurulatih lain.

Team (jurulatih) ini semua akan ada, yang tak ada Coach Kim seorang saja. Itu yang saya nak beritahu.

"Semua staff lain akan kekal termasuk penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, jurulatih penjaga kecergasan, jurulatih analisis prestasi, semua terus kekal bersama pasukan.

[TERKINI] Sidang media khas FAM

“Sebab mereka ada baki kontrak sampai 2025. Sudah pasti tugasan Coach Pau seterusnya – sebagai pemangku ketua jurulatih – ialah Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung September ini di Bukit Jalil, disertai Tajikistan, Lebanon dan Filipina,” katanya lagi.

Mohd Yusoff berkata, jawatankuasa pengurusan kebangsaan FAM akan menilai prestasi skuad Harimau Malaya dari semasa ke semasa, termasuk Kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN dan kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada Mac tahun hadapan.

Dalam pada itu, Kim berkata, beliau membuat keputusan tersebut dengan hati yang amat berat, namun meminta rakyat Malaysia untuk terus yakin dengan asas yang telah dibina pada pasukan bola sepak negara itu.

“Jangan risau, sentiasa rasa bangga terhadap pasukan anda. Anda tidak akan menyesal di atas sokongan yang anda berikan.

"Saya mungkin akan menyesal apabila bangun daripada tidur pada esok pagi, tetapi bukan anda,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kim berkata, beliau yakin pasukan bola sepak negara akan terus bersinar di bawah pengurusan Pau Marti, yang mempunyai pengalaman luas terutamanya dalam pembangunan kelab terkemuka dunia, Barcelona FC.

“Beliau ada kepakaran, beliau antara watak utama (dalam sistem kejurulatihan bola sepak kebangsaan), dan keupayaannya berada pada tahap yang sangat tinggi dengan pengalamannya dari Barcelona.

"Saya rasa beliau layak untuk menjawat jawatan tersebut,” kata Kim lagi.