KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat diberitahu bahawa perbahasan usul  laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, bukan bertujuan mendakwa mana-mana pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jika ada keputusan untuk menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad, ia tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara, jika terdapat laporan polis.

Katanya lagi, perbahasan laporan RCI bagi membolehkan kerajaan mengambil cadangan serta keputusan untuk memperbaiki kelemahan berkaitan kes berkenaan.

Dalam masa sama, Azalina juga menjelaskan 47 halaman muka surat yang dihitamkan dalam laporan RCI bertujuan melindungi keselamatan dan hubungan diplomatik.

"Saya nak jawab di sini isu 47 halaman muka disebabkan faktor-faktor kebimbangan risiko keselamatan antara hubungan diplomatik dan perlidungan data individu.

"Kandungan RCI itu jika didedahkan kepada umum akan menjejaskan aspek keselamatan negara atau operasinya di mana maklumat tertentu yang dihitamkan adalah bersifat sensitif termasuk pertahanan, perisikan dan perkara strategik lain.

"Selain itu, kandungan laporan ini mengandungi kandungan sensitif berkaitan rundingan yang sedang berjalan dan butiran melibatkan kedua-dua negara," katanya ketika sesi penggulungan tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina (BN-Pengerang) menambah Kerajaan Madani mahu laporan RCI tidak dirahsiakan, sekaligus membolehkan rakyat secara terbuka mengetahui dapatan syor tersebut.

"Kerajaan Madani nak rakyat tahu, terutama sekali rakyat Johor, nak cari ikan kena halau dengan agensi maritim Singapura," katanya.

Terdahulu, 10 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang termasuk  R Yuneswaran (PH-Segamat); Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading); Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membahaskan usul laporan RCI.

Azalina ketika mengemukakan usul berkenaan berkata,  kerajaan memandang serius isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan tersebut.

Ia selari dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta menteri terlibat meneliti isu yang dibangkitkan.

Laporan RCI yang telah dinyahklasifikasi dikeluarkan pada Khamis mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan ICJ pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.