PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menepis dakwaan telah mengkhianati negara susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas kerajaan menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.


Ringkasan AI
  • Penafian Pengkhianatan: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa beliau mengkhianati negara berikutan keputusan untuk tidak membatalkan keputusan ICJ yang memberikan Batu Puteh kepada Singapura pada 2018.
  • Keputusan Demi Negara: Dr Mahathir menegaskan bahawa semua keputusan yang diambil adalah demi kepentingan bangsa, agama, dan negara, serta menekankan bahawa Batuan Tengah yang dianugerahkan kepada Malaysia lebih berharga daripada Batu Puteh.
  • Siasatan RCI: Laporan RCI yang dinyahklasifikasi mencadangkan siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan, dengan hukuman di bawah Seksyen 417 dan 418, kerana keputusan menarik balik permohonan menyemak semula keputusan ICJ.


Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, beliau tidak sama sekali menggadai kedaulatan Malaysia dan segala keputusan yang dibuat adalah demi bangsa, agama, serta negara.

BACA: Pulau Batu Puteh: Laporan RCI mahu ‘tuju’ kepada saya seorang - Tun Mahathir

Beliau menambah keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Puteh diterima selaras dengan komitmen yang dibuat kepada negara lain dan Batuan Tengah yang dianugerahkan kepada Malaysia dianggap lebih berharga berbanding Pulau Batu Puteh, yang dianugerahkan kepada Singapura.

"Bagaimana anda boleh menggambarkannya sebagai khianat sedangkan saya melakukannya tanpa sebarang keuntungan peribadi?

"Jika saya khianat, maka seluruh Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri pada masa itu juga khianat,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Selasa.

Dr Mahathir memberi maklum balas kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan sebarang kesalahan yang terbabit dalam soal menyerahkan kedaulatan termasuk dalam isu Batu Puteh, dianggap sebagai pengkhianatan besar kepada negara.

Dr Mahathir menambah Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail - duduk di sebelahnya dalam mesyuarat Kabinet dan didakwa tidak membantah.

Ditanya sama ada wujud 'tangan ghaib' di sebalik siasatan terhadap isu Pulau Batu Puteh, beliau mendakwa mungkin ada pihak yang mahu melihat beliau menjadi 'banduan'.

"Mesti ada orang yang sentiasa mempunyai kepentingan khusus untuk kes saya, kerana seperti yang anda tahu saya sekarang adalah pembangkang," ujar beliau.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan disifatkan mempunyai beberapa kecacatan.

"Saya ingin bertanya dahulu rahsia, sekarang terbuka. Siapa yang bersetuju untuk ia dibuka? Kalau ini sudah dibuka dan bukan lagi 'rahsia', maka mengapa kerajaan bantah permohonan saya di mahkamah untuk adakan RCI secara terbuka?

"Laporan ini juga akan dibahaskan (di Parlimen), tetapi bagaimana hendak bahas sekiranya 47 daripada 217 muka surat dipadam? Bagaimana rakyat melalui wakil rakyat hendak bahas atau tanya soalan kalau ada muka surat laporan dipadam?" soalnya.

Laporan RCI yang telah dinyahklasifikasi dikeluarkan pada Khamis mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.