PUTRAJAYA: Peguam Negara dicadang mempertimbang untuk menyah sulit laporan akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, ia diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini merupakan dua dokumen berbeza, yang dibentangkan dalam Parlimen adalah laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Dalam laporan RCI itu ada juga merujuk kepada satu laporan Pasukan Petugas Khas Batu Puteh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, pada Jumaat.

Fahmi menjelaskan, penyahsulitan dokumen itu bersifat penuh kecuali bagi perkara-perkara berkaitan isu-isu diplomasi, keselamatan dan pertahanan negara.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, syor agar pendakwaan berdasarkan pengabaian tugas oleh seorang pegawai awam dalam laporan RCI Pulau Batu Puteh adalah sama seperti dalam laporan pasukan petugas khas berkenaan isu itu.

Ia berkisar kepada hasil siasatan pasukan petugas khas Batu Puteh yang telah ditubuhkan pada 29 Oktober 2021 dan laporan akhir telah dibentang pada Jemaah Menteri pada 7 Oktober 2022.

Fahmi berkata, laporan itu telah dimulakan sewaktu zaman pentadbiran Perdana Menteri kesembilan yang mana Ahli Parlimen Kota Bharu, Ahli Parlimen Larut, Ahli Parlimen Putrajaya merupakan ahli Kabinet pada ketika itu.

"Dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah dimaklumkan bahawa hasil laporan daripada pasukan petugas khas adalah sama dengan syor yang telah dikemukakan dalam RCI Batu Puteh. Bermaksud dari satu sudut, kedua-dua mendapati perkara yang sama.

“Untuk tiga ahli Parlimen berkenaan yang bertindak seolah-olah apa yang disyorkan dalam RCI ini jauh berbeza daripada laporan yang mereka sudah baca ketika berada dalam Jemaah Menteri, ini cukup mengganjilkan,” ujarnya.