Ringkasan AI
- Aktiviti jenayah dalam talian dan penipuan akan dibendung melalui penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 (Akta 588).
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyatakan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dipercepatkan untuk menangani isu ini.
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menekankan pentingnya membendung budaya fitnah dan hasutan dalam talian serta mengingatkan rakyat agar berhati-hati terhadap jenayah siber.
Beliau berkata RUU itu bakal memperlihatkan beberapa kuasa dan undang-undang baharu untuk dilaksanakan bagi mengekang aktiviti tersebut.
Fahmi berkata pihaknya akan bekerja lebih pantas dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi menangani isu tersebut.
"Tuanku juga bertitah untuk rakyat sentiasa berhati-hati tentang jenayah penipuan yang berleluasa," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini.
RUU itu telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing pada 9 Dis dan 16 Dis tahun lepas.
RUU itu antara lain bertujuan untuk menangani kemudaratan dalam talian, terutamanya media sosial dengan menambah baik peruntukan sedia ada, termasuk Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta 588 selain memperkenalkan peruntukan baharu.
Peruntukan baharu itu antaranya mengenai larangan menghantar atau menyebabkan dihantar atau membenarkan penghantaran mesej elektronik komersial yang tidak diminta seperti spam yang kebanyakannya menjurus kepada penipuan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada istiadat pembukaan Parlimen itu mahu kerajaan bersikap tegas dalam membendung budaya fitnah dan hasutan dalam talian dan media sosial yang boleh menyebabkan perpecahan.
Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan dengan budaya itu yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah-belah.
Seri Paduka Baginda juga mengingatkan masyarakat agar sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dalam talian atau scammer dan pencurian identiti.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong itu sarat dengan pesanan untuk semua ahli Parlimen sama ada kerajaan mahupun pembangkang.
Beliau berkata titah Sultan Ibrahim mengenai Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 juga merupakan satu perkara penting.
"Memandangkan kita tuan rumah acara antarabangsa, tuanku bertitah untuk kita menjaga kebersihan dan bagi agensi penguat kuasa untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan memastikan isu jenayah ditangani dengan baik.
"Sudah pasti negara yang bersih dan selamat dari segi jenayah akan menjadi tumpuan serta destinasi pelancong dan pelabur," katanya.
-- BERNAMA