PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan seolah-olah mahu menunjukkan dirinya seorang sahaja yang bertanggungjawab.


Ringkasan AI
  • Penafian Dr Mahathir: Dr Mahathir menegaskan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan Semakan dan Tafsiran dibuat oleh Kabinet, bukan beliau secara individu. Beliau menafikan laporan RCI yang mendakwa beliau menipu Kabinet.
  • Proses dan Pandangan Perundangan: Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau menerima surat dari Peguamcara Negara dan menghadiri taklimat bersama pakar undang-undang tempatan dan antarabangsa mengenai kes tersebut.
  • Laporan RCI dan Siasatan Jenayah: Laporan RCI yang dinyahklasifikasi mendakwa kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir membuat keputusan secara sepihak untuk menarik balik permohonan menyemak keputusan ICJ mengenai Batu Puteh. Siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Kanun Keseksaan.


Bekas Perdana Menteri itu menegaskan bahawa beliau tidak membuat keputusan, sebaliknya hanya menyatakan pendapat dan ia dilakukan atas persetujuan Kabinet ketika itu.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menafikan laporan RCI bahawa beliau telah menipu Kabinet dan tidak membuat keputusan secara sembunyi.

“Ia bukan saya seorang, ia adalah (persetujuan) Kabinet. Mereka tidak boleh mengenakan tuduhan ke atas  seluruh Kabinet, jadi mereka mengenakan saya.

“Mereka mahu mendakwa saya di bawah undang-undang jenayah.

“Keputusan untuk tidak teruskan dengan Semakan dan Tafsiran ini adalah keputusan yang dibuat Kabinet.

“Kalau tidak percaya sila bertanya pada mereka yang hadir pada mesyuarat Kabinet dan rujuk cabutan minit mesyuarat Jemaah Menteri 23 Mei 2018,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Selasa.

Dr Mahathir berkata antara yang berada dalam mesyuarat Kabinet adalah Timbalan Perdana Menteri ketika Itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

"Semua orang ini berada dalam mesyuarat Kabinet, melainkan jika mereka mempunyai apa-apa untuk mengadu atau membantah keputusan, itu harus diambil dan mereka sepatutnya bercakap. 

"Tetapi mereka tidak berkata apa-apa. Jadi kita harus menganggap bahawa semua menteri ini bersetuju," ujar Dr Mahathir.

Malah, beliau berpandangan sebahagian daripada menteri-menteri berkenaan juga perlu dipanggil sebagai saksi dalam siasatan RCI.

"... Sepatutnya menjadi saksi untuk mengesahkan sama ada mereka berkata apa-apa atau tidak. Setakat yang kita tahu mereka tidak menyuarakan apa-apa ketika mesyuarat Kabinet. Sebahagian daripada mereka hendaklah dipanggil sebagai saksi," tegas beliau.

Selain itu, Perdana Menteri Ketujuh itu berkata beliau telah menerima surat daripada Peguamcara Negara bertarikh pada Mei 2018
 dan dilampirkan bersama dokumen-dokumen berkaitan Semakan dan Tafsiran termasuk pandangan perundangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Dalam masa sama, Dr Mahathir memaklumkan satu taklimat Jabatan Peguam Negara berkaitan kes tersebut juga diadakan dan dihadiri wakil-wakil Jabatan Peguam Negara, peguam-peguam tempatan dan pakar luar negara.

“Pada taklimat itu pakar undang-undang beri pandangan.

“Saya juga telah membaca pandangan perundangan dari pakar undang-undang antarabangsa,” ujar beliau.

Laporan RCI yang telah dinyahklasifikasi dikeluarkan pada Khamis mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.