KUALA LUMPUR: Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa polis dan kerajaan bertindak terlampau ‘keras’ untuk melumpuhkan operasi Global Ikhwan Services and Business Holding (GISB) Bhd adalah tidak tepat, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Dalam satu sidang media khas di ibu negara pada Khamis, beliau berkata, tidak wajar untuk membandingkan tindakan polis terhadap GISB dan tindakan terhadap Al-Arqam yang berlaku pada 1994, kerana peruntukan undang-undang yang berbeza.

“Masa 1994 kita punyai undang-undang pencegahan di mana kita tidak perlu pergi kepada sistem kehakiman. Kini, tangkapan kita semua dibawa ke sistem perundangan terbuka, yang mana kita harus cari bukti, dan prosedur itu very transparent.

“Dan pihak polis menguatkuasa undang-undang dengan peruntukan yang sememangnya diperuntukan untuk kami kuatkuasakan. Dalam konteks ini apa yang kita lihat bahawa elemen elemen penganiayaan dan pengabaian wujud untuk dibawa atau digunakan dalam memajukan perniagaan mereka ini,” katanya lagi.

Mohd Shuhaily berkata, menjadi beban tanggungjawab pihak polis ialah untuk buktikan berlakunya perlakuan (penganiayaan) tersebut dengan perniagaan yang dijalankan oleh GISB.

Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri dalam wawancara khas dengan media sebelum ini berpandangan, tindakan ‘keras’ pihak kerajaan seolah-olah seperti ingin menghapuskan terus organisasi tersebut berbanding dengan kaedah membetulkan apa yang salah.

Beliau berkata, GISB merupakan sebuah syarikat berjaya yang beroperasi di 20 buah negara, dan tindakan polis seperti menghukum semua individu terlibat, sama ada bersalah atau tidak bersalah.

Bagaimanapun Mohd Shuhaily berkata, terdapat bukti seperti mana yang disebut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa operasi perniagaan GISB cuba dimudah cara dengan kefahaman Aurad Muhammadiah, yang telah difatwakan sebagai ajaran sesat sebelum ini.

“Jadi di situ (saya harap) dapat terangkan, konteks masa dan undang-undang satu ketika dulu, hari ini everything is transparent.  Let the legal process takes its place. That is the process.

“Proses perundangan kita ini semakin matang dan harapan saya ialah untuk masyarakat di luar sana memahami proses perundangan. Pihak polis siasat, dan tanggungjawab kami sepenuhnya untuk cari segala bahan bukti untuk dibawa ke pihak pendakwa raya, yang akan mengkaji dan mengesyorkan tindakan apa seterusnya,” katanya lagi.