Mereka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH Nasiruddin Mohd Ali dan isteri, Datin Azura Md Yusof, serta anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa'ari, juga 19 pemimpin tertinggi perniagaan itu
Semua ahli lelaki memakai baju-T berwarna putih tiba dalam keadaan bergari pada jam 8.15 pagi sementara ahli wanita, juga bergari, masing-masing memakai jubah, tiba di mahkamah pada 9.30 pagi.
Pada 23 Okt lalu, Nasiruddin, Azura dan 20 lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak empat tahun lalu.
Ketika sebutan, kesemua ahli mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Selain Nasiruddin, 65 tahun, dan Azura, 57 tahun, 20 individu lain ialah Hasnan Abd Hamid, 53 tahun, Mohammad Adib At-Tarmizi, 32 tahun, Mohd Shukri Mohd Noor, 53 tahun, Mokhtar Tajuddin, 60 tahun, Shuhaimi Mohamed, 56 tahun, Muhammad Afdaluddin Latif, 34 tahun, Mohamad Sayuti Omar, 35 tahun, Mohd Fazil Md Jasin, 57 tahun, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34 tahun, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 51 tahun, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 34 tahun, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28 tahun.
Tertuduh lain ialah Hamimah Yakub, 72 tahun, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 44 tahun, Mahani Kasim, 54 tahun, Siti Hajar Ismail, 51 tahun, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27 tahun, Nurul Jannah Idris, 28 tahun, Nur Jannah Omar, 32 tahun, serta seorang lagi dikenali sebagai Siti Salmiah.
Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Kumpulan GISBH di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang antara Okt 2020 dan 11 Sept lalu.
Justeru, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.