Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, berdasarkan situasi semasa dan musim, kos umrah yang ideal adalah antara RM6,000 ke RM7,000 serta ia akan sedikit meningkat terutamanya pada musim cuti sekolah dan bulan Ramadan.
Justeru katanya, pakej yang berharga di bawah RM6,000 dilihat agak mustahil, melainkan dalam keadaan tertentu seperti menggunakan penerbangan yang lebih murah dan penginapan agak jauh.
“Realitinya, pengendali umrah sentiasa berdepan dengan masalah luar jangka menyebabkan berlakunya situasi yang tidak diingini seperti ketiadaan bilik. Di Arab Saudi, bila kita tempah bilik sekalipun, mereka boleh ubah sesuka hati.
“Selain itu, kebiasaannya apabila bulan Rejab dan Syaaban, orang Arab mula ramai ke Makkah dan jumlahnya akan terus meningkat menjelang Ramadan. Bila berlakunya situasi sebegini, agak sukar untuk mendapatkan bilik dan jika ada pun ia lebih mahal.
“Bilik yang lebih murah ada tapi agak jauh. Situasi seperti ini yang sering berlaku menyebabkan ada ketikanya berlaku jemaah kita terkandas disebabkan ketiadaan bilik dan pengendali tidak mampu menampung kenaikan kos,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang cabaran dan kos pakej umrah, susulan sebuah syarikat pengendali umrah yang didakwa gagal menerbangkan lebih 300 jemaah ke Tanah Suci.
Susulan itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akhbar Khan memberitahu bahawa syarikat tersebut berdepan dengan tindakan penggantungan operasi selama tujuh hari, berkuat kuasa pada Rabu sekiranya gagal membuat pemulangan wang sehingga malam Selasa.
Tambah Razali, bagi mengelakkan risiko ditipu dan terkandas, umat Islam yang ingin menunaikan umrah perlu lebih teliti dan realistik dalam memilih pakej umrah yang bersesuaian.
Justeru, beliau menasihatkan umat Islam yang ingin menunaikan umrah agar meneliti sama ada syarikat pengendali itu berdaftar atau sebaliknya dan mempunyai lesen pelancongan serta lesen mengendali umrah dan haji. - Sinar Harian