KUALA LUMPUR: Permohonan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar mendapatkan pasport antarabangsa sementara bagi menunaikan umrah, diluluskan.


Ringkasan AI
  • Permohonan pasport sementara untuk menunaikan umrah oleh pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, diluluskan.
  • Pasangan ini perlu mengembalikan pasport kepada mahkamah pada 15 Januari selepas pulang dari umrah.
  • Mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah melibatkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad berjumlah RM8 juta.


Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian pada Selasa selepas meneliti permohonan peguam Ashok Athimulan yang mewakili pasangan itu selain tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

Pasport pasangan itu akan diserahkan bermula hari ini dan perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 15 Januari.

Terdahulu, Ashok Athimulan memohon pasport diserahkan sementara kepada anak guamnya yang akan bertolak ke Arab Saudi pada 5 Januari untuk menunaikan umrah.

"Kedua-dua anak guam akan pulang ke Malaysia pada 14 Januari, maka pasport akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 15 Januari.

"Saya mohon pasport diserahkan hari ini kerana ketiadaan pasport sukar untuk melakukan visa dan sebagainya," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang tidak membantah permohonan membangkitkan persoalan sama ada perancangan mengerjakan umrah dibuat sebelum atau selepas pertuduhan.

Fadzaruddin menjelaskan bahawa rancangan itu dibuat selepas pertuduhan.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 22 Januari ini.

Pada 5 Disember lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 21 Ogos 2018 dengan dana berkenaan dikatakan dipindahkan secara tidak sah daripada akaun syarikat Fashion Valet ke syarikat lain tanpa kelulusan lembaga pengarah.