Mahkamah Sesyen yang bersidang pada pagi Khamis menetapkan masing-masing diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasangan itu perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.
Selain itu, kedua-dua tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dihalang daripada mengganggu serta mempengaruhi saksi dalam kes ini sehingga kes selesai.
BACA: Vivy Yusof, suami mengaku tidak bersalah pecah amanah RM8 juta
Terdahulu, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd., yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Kedua-dua tertuduh didakwa membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen itu yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan sebutan semula kes 22 Januari tahun depan.