Pasangan itu dilihat tiba sekitar pukul 8.35 pagi dengan ditemani peguam.
Pada Rabu, SPRM menerusi akaun TikTok memaklumkan, pihaknya mendapat izin untuk mendakwa pasangan tersebut masing-masing di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.
Pertuduhan ke atas pasangan itu dipercayai berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang itu.
Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki sebelum ini turut mengesahkan pasangan itu ditahan di pejabat SPRM, pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, Vivy dan Fadzaruddin dibebaskan dengan jaminan.
Siasatan ke atas pasangan itu dilakukan susulan pendedahan Kementerian Kewangan bahawa Khazanah dan PNB hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Susulan itu, kediaman pasangan suami isteri di Mont Kiara, di sini diserbu dan SPRM menyita beberapa barangan termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
SPRM turut bertindak membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pasangan itu yang bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Isu berhubung kerugian pelaburan terbabit turut mendapat perhatian di media sosial sebelum Vivy dan suaminya turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.
Pasangan itu juga mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.
Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik COVID-19.