Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata karnival yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini disertai oleh 37 syarikat pengelola jemaah haji (PJH) yang dilantik oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
"Karnival PJH yang dianjurkan ini adalah platform terbaik untuk memupuk pemahaman dan kesedaran mengenai pengurusan serta perkhidmatan pakej haji kepada bakal-bakal jemaah haji.
"Saya berharap syarikat-syarikat PJH dapat memanfaatkan peluang ini untuk mempromosikan pakej-pakej haji yang ditawarkan secara langsung kepada orang ramai dan para bakal haji sepanjang karnival ini berlangsung," katanya ketika berucap merasmikan Karnival PJH di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman, serta Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Malaysia (BUMITRA) Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin.
Mohd Na'im berkata Karnival PJH yang dianjurkan oleh TH dan BUMITRA menyasarkan lebih 16,000 pengunjung.
"Oleh itu, saya menyeru dan mengajak masyarakat, khususnya rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menunaikan haji atau yang telah menerima tawaran haji, serta mereka yang berminat untuk menunaikan umrah atau mengunjungi destinasi pelancongan, untuk datang beramai-ramai ke karnival kali ini bagi mendapatkan perkhidmatan pakej haji.
"Semua bakal haji juga berpeluang untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas dan boleh membuat pertanyaan secara bersemuka mengenai pakej-pakej yang ditawarkan.
"Justeru, saya menyeru bakal-bakal haji terpilih pada musim haji tahun ini untuk hadir ke Karnival PJH, agar dapat bertanya sendiri dan memperoleh maklumat yang lebih mendalam mengenai tawaran pakej haji yang disediakan," katanya.
Beliau berkata Karnival PJH adalah inisiatif TH yang dilihat sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan perkhidmatan 37 syarikat PJH yang telah dilesenkan.
"Saya yakin syarikat-syarikat PJH ini memiliki kapasiti yang teguh, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi serta berwibawa dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan menjaga kebajikan jemaah haji negara," katanya.
Selain pakej haji, beliau berkata pengunjung juga boleh mendapatkan pakej-pakej umrah dan pelancongan yang turut ditawarkan oleh syarikat PJH yang terlibat.
-- BERNAMA