SEPANG: Kira-kira 6,000 bakal jemaah telah bersetuju menerima tawaran haji bagi musim 1446H/2025 setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata surat tawaran haji telah diedarkan secara berperingkat kepada 31,600 bakal jemaah haji bermula 16 Dis lepas dan dijangka selesai pada 15 Jan ini.

"Kalau tidak terima sampai 15 Jan ini (maka) tak adalah (tawaran). Yang telah menerima (surat) tawaran haji itu maknanya mereka dah pergi pemeriksaan (kesihatan).

"Kita akan memulakan proses rayuan selepas 15 Jan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ketiga Pengelola Jemaah Haji (Karnival PJH) di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, TH telah menerima kira-kira 60,000 rayuan haji bagi musim ini sejak 19 Dis lepas.

Sementara itu, Mohd Na'im turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan penipuan pakej haji dan umrah yang ditawarkan oleh individu dan syarikat pelancongan tidak berlesen.

Beliau berkata masih ramai mudah terperdaya dengan pakej haji tidak sah yang ditawarkan oleh pihak bertanggungjawab meskipun pelbagai inisiatif telah diambil oleh pengurusan TH dalam memberikan peringatan secara berkala kepara orang ramai.

Menurut beliau, kerajaan memandang serius isu penipuan pakej haji dan komited untuk menangani kes penipuan membabitkan jemaah haji negara menerusi kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

"Ingin saya tegaskan di sini bahawa individu atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan dan lesen daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995.

"Justeru, suka saya mengingatkan semua bakal haji untuk memastikan pakej haji ingin diambil adalah daripada 37 Pengelola Jemaah Haji telah dilesenkan oleh TH termasuk bakal haji yang mendapat visa Furada dan Mujamalah agar pemantauan dapat dilakukan bagi memastikan semua jemaah haji Malaysia mendapat perkhidmatan terbaik," katanya.

-- BERNAMA