WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyokong cadangan sekutunya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk "mengambil alih" Gaza dan tentera Israel telah diarahkan untuk menyediakan rancangan bagi pemindahan besar-besaran warga Palestin keluar dari wilayah tersebut.

Rancangan Trump ini mencetuskan reaksi balas yang hebat, dengan pemimpin dari Asia Barat dan seluruh dunia menolaknya sebagai tidak praktikal dan menyalahi undang-undang.

Namun, Netanyahu menegaskan, rancangan tersebut - yang menurut Trump melibatkan penghantaran penduduk Gaza ke negara-negara jiran dan mengambil "pemilikan jangka panjang" ke atas wilayah itu merupakan satu “idea yang luar biasa.”

“Idea sebenar untuk membenarkan penduduk Gaza yang ingin keluar untuk pergi, saya maksudkan, apa salahnya dengan itu?” katanya dalam wawancara bersama Fox News, sambil menegaskan, mereka yang keluar “boleh kembali semula.”

“Ini adalah idea yang baik yang pertama kali saya dengar. Ia satu idea yang luar biasa dan saya fikir ia perlu dikaji secara serius, diteruskan dan dilaksanakan kerana saya percaya ia akan mewujudkan masa depan yang berbeza untuk semua orang,” tambah Netanyahu.

Pengumuman cadangan Trump dalam satu sidang akhbar bersama Netanyahu di White House pada Selasa lalu, mencetuskan kritikan hebat daripada kumpulan hak asasi manusia yang menyatakan pelaksanaan rancangan ini akan melanggar undang-undang antarabangsa selain dianggap sebagai pembersihan etnik di Gaza.

Sekutu-sekutu barat Washington menolak idea untuk memindahkan penduduk dari Gaza, manakala para pemimpin di Asia Barat, termasuk pegawai-pegawai Gaza, menegaskan semula pendirian mereka yang menyokong penubuhan negara Palestin.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar, Majed Al Ansari berkata, negara-negara Arab merancang untuk membina semula Gaza sambil memastikan rakyat Palestin kekal di wilayah itu.

Sementara itu, Raja Abdullah dari Jordan berlepas untuk lawatan ke United Kingdom dan AS dengan negaranya menyatakan secara tegas menentang rancangan tersebut.

Sebahagian besar Gaza telah musnah akibat serangan udara Israel selama 15 bulan berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Cadangan ini menimbulkan persoalan sama ada warga Palestin boleh dipindahkan secara paksa dari rumah mereka, dan bercanggah dengan dasar luar Amerika selama beberapa dekad yang menekankan penyelesaian dua negara bagi Israel dan Palestin.

Pegawai-pegawai White House juga cuba menarik balik beberapa butiran rancangan itu selepas pengkritik menunjukkan pelan Trump itu berpotensi menghantar semula tentera AS ke tengah-tengah konflik di Asia Barat.

Beberapa penggubal undang-undang Republikan cuba memahami kenyataan tersebut dalam satu mesyuarat tertutup bersama utusan Trump ke Timur Tengah, Steve Witkoff, pada Rabu.

Seorang penggubal undang-undang yang hadir memberitahu CNN bahawa terdapat "banyak kebimbangan."

Pada satu ketika, Senator Roger Wicker bertanya sama ada idea Trump itu telah dirancang sejak sekian lama.

Witkoff, menurut sumber, mencadangkan bahawa memang begitu.

Bagaimanapun, seperti yang dilaporkan oleh CNN, pegawai lain dalam pentadbiran tidak mengetahui tentang rancangan ini sebelum ia diumumkan.

Pada Khamis, Trump kembali mengulas idea itu di rangkaian Truth Social miliknya dengan  menyatakan, Gaza “akan diserahkan kepada Amerika Syarikat oleh Israel setelah pertempuran selesai” di wilayah tersebut dan tiada tentera AS yang diperlukan.

Beliau tidak memberikan butiran lanjut bagaimana rancangan itu akan dilaksanakan. - Agensi