Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, jumlah bantuan yang besar itu telah memberikan kesan langsung terhadap kemampanan kewangan TH dan pulangan kepada pendeposit.
Katanya, TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi musim 1446H/2025M kepada bakal jemaah haji Muassasah yang pertama kali menunaikan ibadat haji.
“Justeru, TH telah mengambil langkah menurunkan kadar Bantuan Kewangan Haji secara berperingkat sejak 2022, ke arah memenuhi konsep kemampuan dalam menunaikan ibadah haji (istito’ah) dan bagi membantu kelestarian kewangan TH demi memelihara kepentingan pendeposit.
“Keputusan ini adalah selari dengan resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang menetapkan bakal jemaah haji bertanggungjawab atas perbelanjaan sebenar menunaikan ibadah haji, selari dengan konsep istito’ah di mana ibadat haji diwajibkan bagi umat Islam yang berkemampuan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Mengambil berat konsep istito’ah, beliau memaklumkan, sejak tahun 2022 hingga 2024, lebih 700 jemaah Muassasah B40 dan M40 telah memilih membayar sama ada kos haji secara penuh atau lebih daripada bayaran minimum yang ditetapkan TH.
Selain itu, beliau berkata, bagi bakal haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah, mereka yang terpilih melalui proses rayuan perlu membayar penuh kos haji selaras dengan syarat istito’ah.
“Terdapat hampir empat juta pendeposit yang telah mendaftar haji dan sedang menunggu giliran untuk menunaikan haji, namun kuota adalah terhad.
“Kos haji Muassasah adalah jauh lebih rendah daripada pakej haji yang ditawarkan oleh syarikat swasta yang dilesenkan oleh TH di mana harga bermula sekitar RM55,000 seorang,” jelas Syed Hamadah.
Terdahulu dalam sidang media sama, beliau mengumumkan, bayaran haji bagi tahun 2025 dianggarkan naik 20 peratus bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 dan M40 susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.
Bagi tahun 2025, kadar bayaran bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada 2024.
Bagaimanapun, kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim 1446H/2025M kekal iaitu RM33,300 seorang.