KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) sedang menunggu laporan penuh berhubung tindakan segelintir penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) membaling botol ke dalam kawasan padang semasa perlawanan timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) menentang Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan daripada pegawai perlawanan mengenai insiden itu.

"Kita tunggu laporan. Nak komen pun sukar sebelum terima laporan daripada semua pihak," katanya kepada Sukan Sinar.

Dalam perlawanan itu, Buriram mara ke perlawanan suku akhir selepas berjaya menundukkan JDT 1-0 hasil jaringan tunggal Suphanat Mueanta pada minit ke-58.

Namun, sebelum itu Obregon berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan sebelum golnya itu dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Ia sekali gus menyebabkan segelintir penyokong JDT kecewa dengan keputusan dibuat pembantu pengadil, Abdulhadi Alanezi itu dan bertindak membaling botol ke dalam kawasan padang.

Semakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas itu juga mengesahkan Obregon berada dalam kedudukan ofsaid sekali gus menyaksikan JDT gagal untuk mencipta sejarah mara ke suku akhir kejohanan itu. -- Sinar Harian