KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dijadualkan hari ini ditangguhkan ke 26 Ogos depan berikutan bekas perdana menteri itu telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana mengalami masalah pernafasan.

Dr Mahathir menyaman timbalan perdana menteri itu atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu 'kutty' membabitkan pemimpin veteran berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Gan Techiong membenarkan penangguhan itu selepas peguam Mior Nor Haidir Suhaimi, yang mewakili Dr Mahathir selaku plaintif memaklumkan kepada mahkamah, anak guamnya masih menerima rawatan di IJN sejak Isnin lepas dan tidak dibenarkan keluar oleh pakar kardiologi bagi menghadiri prosiding.

"Dr Mahathir yang pulang dari London pada 14 Julai lalu telah dimasukkan ke IJN pada keesokannya selepas mengalami masalah pernafasan dan pihaknya menerima pengesahan daripada pakar kardiologi pada petang 16 Julai lalu bahawa Dr Mahathir tidak dibenarkan keluar," kata Mior Nor Haidir.

Menurut peguam, pihaknya telah menghantar surat kepada mahkamah pada 17 Julai lalu bagi memohon agar perbicaraan pada hari ini dilapangkan.

Hari ini sepatutnya hari pertama perbicaraan kes saman berkenaan selepas prosiding pada 13 Feb lalu ditangguhkan kerana Dr Mahathir tidak sihat dan diberi sijil cuti sakit oleh IJN.

Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid pula berkata pihaknya bersimpati dengan keadaan Dr Mahathir dan memaklumkan ini kali kedua kes ditangguhkan berikutan kesihatan Dr Mahathir yang terganggu selain mendoakan beliau sihat pada prosiding akan datang.

Sementara itu, JC Gan berkata semua pihak tidak meragui kesahan surat peguam memandangkan Dr Mahathir sudah berusia dan keadaan kesihatan beliau tidak menentu.

JC Gan turut meminta peguam Dr Mahathir untuk menasihatinya supaya tidak ke luar negara sebelum tarikh perbicaraan dan turut mengarahkan supaya saksi plaintif kedua, iaitu Datuk Seri Mukhriz memberikan keterangan jika bapanya masih tidak sihat pada perbicaraan akan datang.

Selain 26 Ogos, JC Gan turut menetapkan 27 Ogos, 29 dan 30 Okt ini untuk perbicaraan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir, 99, mendakwa Ahmad Zahid, 71, telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani serta beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

-- BERNAMA