DUBAI: MIHAS@Dubai yang julung kali diadakan dari 18 hingga 20 November 2024 menterjemahkan pencapaian penting bagi industri halal Malaysia, dengan mencatat kejayaan luar biasa melalui nilai jualan eksport RM500 juta pada hari pertama.

Pameran bersejarah ini yang pertama kali diadakan di luar Malaysia, menyasarkan nilai jualan keseluruhan RM1.2 bilion.

Ia menunjukkan kesungguhan negara untuk mengantarabangsakan industri halal dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam ekonomi halal yang semakin berkembang pesat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata MIHAS@Dubai telah meningkatkan ekosistem halal Malaysia dengan menyediakan platform untuk 215 syarikat Malaysia menonjolkan kecemerlangan dan kepelbagaian produk serta perkhidmatan halal buat semua pemain industri yang terlibat.

Katanya, ekspo ini membuka lembaran baharu bagi perniagaan Malaysia untuk menembusi pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) yang mempunyai populasi mencecah lebih 490 juta, seterusnya memupuk kerjasama yang bermakna dan mendorong pertumbuhan jangka panjang.

"Hubungan perdagangan Malaysia dengan negara-negara Gulf Cooperation Council (GCC) kekal kukuh - mencerminkan kerjasama ekonomi yang semakin berkembang antara kedua-dua rantau.

"Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2024 sahaja, jumlah perdagangan Malaysia dengan negara GCC berkembang sebanyak 1.8% kepada RM87.30 bilion, berbanding tempoh yang sama pada 2023.

"Eksport meningkat sebanyak 7.1% kepada RM21.77 bilion, didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap produk petroleum, logam, barang kemas. Sementara import pula meningkat sebanyak 0.2% kepada RM65.53 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas mengunjungi reruai pempamer Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Dubai di sini, hari ini.

Antara negara-negara GCC, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memainkan peranan penting - menyumbang 42.1% kepada jumlah perdagangan Malaysia dengan GCC.

Dari Januari hingga Oktober 2024, perdagangan Malaysia dengan UAE meningkat dengan ketara sebanyak 12.8% kepada RM36.73 bilion.

Pencapaian ini membuktikan peranan penting UAE sebagai rakan dagang strategik bagi Malaysia dan menyerlahkan kepentingan penganjuran MIHAS@Dubai sebagai pemangkin untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan memupuk pertumbuhan bersama.

Kedudukan Dubai sebagai hab perdagangan global pastinya memberikan ekosistem perniagaan Malaysia akses ke pasaran GCC dan MENA yang lebih luas.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau percaya kejayaan MIHAS@Dubai adalah bukti nyata komitmen teguh Malaysia untuk mewujudkan ekosistem halal global yang inklusif, inovatif dan berdaya tahan.

"Ekspo ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan perdagangan antarabangsa tetapi juga membina asas kukuh bagi kerjasama strategik jangka panjang yang mampu mendukung pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya.