KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengamalkan sistem dua parti bagi memastikan tiada lagi polemik politik berlaku sehingga menyebabkan kejatuhan pentadbiran sesebuah kerajaan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia terbukti melalui pelaksanaan demokrasi di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang membolehkan kerajaan terbentuk menerusi kemenangan majoriti sebuah parti.

Jelasnya, ini berbeza di Malaysia yang menurut beliau terdapat banyak parti politik ditubuhkan dengan memberikan contoh sekurang-kurangnya lima buah parti pecahan daripada UMNO.

“Perjuangan UMNO sebenarya agak mudah iaitu untuk bangsa, negara, dan agama tapi perjuangan itu dialihkan kepada memperjuang cash is king. Maka sebab itu ramai ahli UMNO tidak begitu setuju dan mereka keluar daripada parti termasuklah saya.

“Kenapa UMNO berpecah itu kerana kepimpinannya tidak berusaha untuk menyatupadukan ahli-ahli, tidak berpegang kepada perjuangan sebenar UMNO, jadi kalau kita mahu selesaikan masalah ini, kita kena kurangkan parti politik kepada hanya dua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku Idealis Syed Hamid Albar, di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak tahu menahu mengenai sebarang usaha untuk menarik Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Beliau menjelaskan, peranannya sebagai Ketua Panel Penasihat SG4 hanya memberi nasihat berhubung hal ehwal pembangunan di empat negeri pembangkang, bukan berkenaan politik.

Dr Mahathir berkata demikian bagi menjawab pendedahan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini bahawa terdapat usaha menarik BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan yang dibentuk menerusi kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).

Tanpa mendedahkan pihak terbabit, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mendakwa, BN turut ditawarkan jawatan Perdana Menteri jika bersetuju dengan cadangan berkenaan namun ia ditolak kerana tidak mahu mengkhianati rakan Kerajaan Perpaduan.