IPOH: Barisan Nasional (BN) akan mengetengahkan ramai calon muka baharu, terutama dari kalangan anak muda, pada Pilihan Raya Umum Ke-16 akan datang, kata Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Ringkasan AI
  • Calon Muka Baharu: Barisan Nasional (BN) akan mengetengahkan ramai calon muka baharu, terutama dari kalangan anak muda, pada Pilihan Raya Umum Ke-16 akan datang untuk memperkukuh parti dan meraih sokongan rakyat.
  • Strategi Memperkuh BN: Lima langkah utama untuk memperkukuh BN termasuk memperkuatkan jentera parti, menguasai teknologi, menggilap potensi calon muda, memperkukuh hubungan dengan rakan Kerajaan Perpaduan, dan menarik sokongan pengundi muda.
  • Peruntukan untuk Perak: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah memperuntukkan RM382 juta kepada Perak bagi tahun ini, dengan lebih RM400 juta dijangka diperuntukkan pada tahun hadapan.


Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata usaha itu menjadi satu daripada lima langkah yang digariskan dalam memperkukuh parti-parti komponen BN bagi meraih sokongan rakyat.

"Saya merasakan bahawa kita tiada pilihan untuk mengetengahkan calon-calon muka baharu, terutamanya dalam kalangan anak muda. Dalam Pilihan Raya Kecil Nenggiri dan Mahkota baru-baru ini membuktikan bahawa hipotesis ini benar dan betul.

"Kesesuaian calon bukan sekadar usia muda, tetapi mereka yang berpengalaman dan berakar umbi berpotensi membawa kemenangan gemilang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Negeri Perak di sebuah hotel, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak, Bendahari Agung MIC Tan Sri M. Ramasamy merangkap Pengerusi MIC Perak dan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon yang juga Pengerusi MCA Perak.

Selain itu, wakil dari Pakatan Harapan (PH) yang turut hadir termasuk Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Asmuni Awi; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How, yang juga Bendahari DAP Perak; serta Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri.

Presiden UMNO berkata contoh terbaik ialah kemenangan BN di PRK Nenggiri sebelum ini, apabila berjaya merampas kawasan di negeri pembangkang dengan menampilkan calon anak muda.

"Kita masih mampu menang jika kita melakukan game changer di kawasan tertentu. Di Mahkota, kita sekali lagi membuktikan hipotesis itu benar. Ini bukan soal mengetepikan pemimpin lama, tetapi mewujudkan kombinasi yang baik antara generasi lama dan baharu.

"Kita pernah diberi peluang ketika muda, dan kini menjadi tanggungjawab kita untuk membuka ruang kepada calon muda untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Ditanya mengenai proses pemilihan calon, Ahmad Zahid berkata BN, khususnya di Perak, telah menyusun strategi untuk memastikan calon terbaik diketengahkan.

Terdahulu, dalam ucapannya semasa merasmikan konvensyen itu, beliau berkata antara langkah memperkukuhkan BN adalah dengan memperkuatkan jentera parti, menguasai teknologi termasuk media sosial, menggilap potensi calon dari kalangan Puteri, Pemuda, dan Wanita, memperkukuh hubungan dengan rakan Kerajaan Perpaduan, serta menarik sokongan pengundi muda.

Berkenaan rundingan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) untuk PRU16, Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata parti dalam Kerajaan Perpaduan boleh memberi cadangan tetapi kepercayaan mesti diberikan kepada kepimpinan atasan untuk membuat keputusan bagi mengelakkan berlakunya pertindihan kerusi.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada perbincangan mengenai perkara itu setakat ini, dan ia dijangka hanya akan dibincangkan selepas Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Dalam konvensyen hari ini, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut mengumumkan bahawa kementeriannya telah memperuntukkan sebanyak RM382 juta kepada Perak bagi tahun ini. Selain itu, lebih RM400 juta dijangka diperuntukkan kepada negeri tersebut pada tahun hadapan.

-- BERNAMA