Mencadangkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan memandang serius isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.
Ia selari dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta menteri terlibat meneliti isu yang dibangkitkan.
Usul berkenaan dibahaskan 10 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang termasuk R Yuneswaran (PH-Segamat); Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading); Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Azalina menegaskan, penelitian terhadap penemuan dan syor-syor Suruhanjaya bukan sahaja dapat memberikan penjelasan tentang kedudukan perkara berkaitan kedaulatan negara, tetapi juga mengukuhkan komitmen bersama untuk menegakkan kepentingan negara.
Sementara itu, Takiyuddin ketika berbahas menyifatkan laporan RCI tersebut sebagai cacat kerana sebanyak 47 daripada 217 muka surat telah dipadam.
Beliau berkata, laporan tersebut dilihat meragukan dan didakwa mempunyai unsur mala fidé atau niat buruk terhadap individu tertentu.
"Dalam laporan RCI ini, telah disenaraikan begitu banyak dokumen... berapa puluh senarai dokumen atau ekshibit yang telah ada.... tidak dibekalkan kepada kita.
"Yang ada dalam ini hanya satu-satunya adalah surat yang dihantar oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini jelas melihat apakah tujuan yang RCI ini diadakan," katanya di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan bagaimana 'kecuaian' boleh dijenayahkan, yang akhirnya pada masa depan sesiapa sahaja yang mentadbir kerajaan boleh menerima nasib yang sama seperti tuduhan yang dihadapi Dr Mahathir, ketika ini.
"Hari ini berlaku kepada Dr Mahathir... pada masa depan mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sesiapa pun.
"Kalau hari ini kecuaian boleh dijenayahkan, pada masa akan datang setiap satu keputusan kerajaan lakukan boleh dijenayahkan dan disemak semula.
"Akhirnya, Malaysia akan jatuh dalam 'steep slope'... Semua orang dimasukkan penjara dan tidak ada kestabilan politik," ujar beliau.
Ahli Parlimen dari blok kerajaan, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pula meminta semua pihak mengenang segala pengorbanan Dr Mahathir sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, termasuk membangunkan Malaysia.
"Kalau kita hukum Dr Mahathir, adakah kita boleh dapat Pulau Batu Puteh yang dah terlepas itu? Perbicaraan pada peringkat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bukan pada waktu Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
"Saya mintalah... kalau belum ada laporan polis dibuat, janganlah buat. Cukup-cukuplah, tak akan langsung Dr Mahathir tak ada jasa kepada negara?
"Ramai menteri yang ada di sini, pejabat mereka di Putrajaya, siapa yang bina?," katanya.
Laporan RCI yang telah dinyahklasifikasi dikeluarkan pada Khamis mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan ICJ pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.
Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
ICJ pada 23 Mei 2008, memutuskan Singapura punya hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah milik Malaysia dan hak milik Tubir Selatan akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.