Ringkasan AI
- Perbahasan laporan RCI: Dewan Rakyat akan membahas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan dalam sidang minggu depan, seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet.
- Usul oleh Azalina Othman Said: Datuk Seri Azalina Othman Said akan membawa usul untuk dibahaskan di Parlimen, dengan fokus pada tindakan pentadbiran sebelumnya yang dianggap sebagai pengkhianatan terhadap kedaulatan Malaysia.
- Keputusan ICJ dan tindakan Mahathir: Laporan RCI mendedahkan bahawa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) 2008 mengenai Batu Puteh tanpa konsensus Kabinet, dan mencadangkan siasatan jenayah terhadap beliau.
Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, tindakan itu diambil selepas ia dibincang dan dipersetujui mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
“Mesyuarat Kabinet hari ini tidak bincang secara khusus berhubung isu ini tetapi Kabinet dimaklumkan bahawa Azalina akan membawa usul untuk dibahaskan dalam Parlimen, kemungkinan Rabu atau Khamis depan," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini, pada Jumaat.
Fahmi berkata satu usul akan dibawa Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).
Menteri Komunikasi itu turut merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penemuan laporan RCI berkenaan yang menyifatkan tindakan pentadbiran sebelum ini sebagai “satu pengkhianatan jelas” terhadap kedaulatan Malaysia.
“Perdana Menteri telah memberi komen mengenai apa yang disifatkan sebagai pengkhianatan jelas apabila kita membaca laporan itu, katanya ini adalah pengkhianatan yang telah berlaku,” ujarnya.
Laporan RCI yang telah dinyahklasifikasi dikeluarkan pada Khamis mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.
Suruhanjaya itu menyimpulkan bahawa keputusan berkenaan dibuat tanpa konsensus Kabinet dan mencadangkan siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415 (b) Kanun Keseksaan kerana menipu.
ICJ pada 2008 memberikan hak milik Batuan Tengah kepada Malaysia dan Batu Puteh kepada Singapura, manakala status pemilikan Tubir Selatan akan ditentu berdasarkan penetapan sempadan perairan wilayah.
Pada 3 Februari 2017, Putrajaya mengemukakan permohonan untuk menyemak semula keputusan ICJ yang memberikan Batu Puteh kepada Singapura.
Putrajaya pada 30 Jun tahun sama kemudian memfailkan permohonan berasingan untuk mendapatkan penjelasan mengenai keputusan ICJ terutamanya untuk menangani kekaburan dan implikasi berkaitan status Tubir Selatan.
Namun, selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum Mei 2018, pentadbiran diketuai Tun Dr Mahathir menarik balik kedua-dua permohonan tersebut sebelum sempat didengar pada Jun 2018.